Penubuhan OTM merupakan usaha berterusan oleh KPKK melalui Istana Budaya, bagi menstrukturkan semula ahli muzik tradisional pelbagai kaum dan etnik serta menjadikan kepelbagaian peralatan muzik tradisional Malaysia bertaraf antarabangsa dan profesional, setanding dengan orkestra simfoni barat. OTM turut menggabungkan ahli muzik handalan dari Professional Cultural Center (PCC) dan Temple of Fine Arts (TOFA). Gabungan ini memaparkan dan mengungkapkan perpaduan dan semangat setiakawan di kalangan rakyat berbilang kaum.
OTM dilihat sebagai pemangkin revolusi muzik Malaysia di abad ke-21. Ia berteraskan muzik pelbagai kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Gabungan pelbagai genre muzik ini adalah diharap dapat dijadikan satu landasan kepada suatu konsep muzik baru rakyat Malaysia yang bersatu di abad yang mendatang.